Tuesday, February 24, 2009

MU vs Inter Milan

PERTARUNGAN antara Inter Milan dengan Manchester United pasti menarik perhatian, terutama bagi peminat yang mengikuti perkembangan bola sepak di England.

Ini kerana ia menemukan semula dua pengurus yang berkarisma, Jose Mourinho dan Sir Alex Ferguson, yang mempunyai gaya dan cara tersendiri untuk menghangatkan pertarungan.

Bekas pengurus Chelsea, Mourinho, yakin dapat menyekat kemaraan United, yang bertandang ke San Siro menentang kelab terbarunya, Inter, dalam perlawanan pertama kalah mati 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara Eropah di Stadium San Siro hari ini (Rabu 3.45 pagi waktu Malaysia).

Keyakinan jurulatih dari Portugal itu berdasarkan statistik peribadinya dalam 12 pertemuan dengan United pimpinan Ferguson - menang enam, seri lima dan kalah sekali.

Semasa memimpin FC Porto, Mourinho menyingkirkan United dalam perjalanan menjulang mahkota Liga Juara-Juara pada 2004, di samping mengatasi United ketika merebut kejuaraan Liga Perdana England pada musim 2005 dan 2006 bersama Chelsea.

Malah, beliau tidak sedikit pun bimbang dengan reputasi United sebagai juara bertahan dan rekod kemenangannya dalam 10 perlawanan terakhir, yang mengukuhkan kedudukannya untuk menjuarai liga buat musim ketiga berturut-turut.

'Manchester United bukan pasukan yang lebih handal daripada kami,' tegas pengurus Inter itu. 'Saya menentang mereka 12 kali, jadi saya tahu kualiti mereka dan saya juga tahu pemain-pemainnya.'

Seperti United, Inter juga merupakan juara bertahan Serie A Italy dan berada pada kedudukan selesa di persada liga meskipun kebelakangan ini sedikit terkial-kial.

Bagaimanapun, aspek yang mungkin menguatkan keyakinan Mourinho ialah masalah bahagian pertahanan United menjelang perlawanan ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa keutuhan benteng United merupakan antara aspek keunggulan United pada musim ini - hanya dibolosi satu gol dalam 15 perlawanan terakhir liga ketika menewaskan Blackburn Rovers 2-1 Ahad lalu.

Gandingan bek tengah handalan, Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic, menjadi faktor utama, di samping kecemerlangan penjaga gawang veteran Belanda, Edwin van der Saar.

Tetapi Vidic tidak dapat diturunkan di San Siro kerana digantung akibat kad merah yang diterimanya dalam pertandingan Piala Kelab Dunia di Jepun Disember lalu.

Pemain gantian yang selalu mengisi kekosongan di bek tengah, Jonny Evans, mengalami kecederaan Ahad lalu dan United juga tanpa dua lagi pemain pertahanan, Gary Neville dan Wes Brown, kerana belum cergas.

John O'Shea kelihatan pasti digandingkan dengan Ferdinand, sementara pemain muda Brazil, Rafael, bermain sebagai bek kanan.

Inter mempunyai pengalaman penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic, dan Adriano dari Brazil untuk mengancam benteng United dan memenuhi keyakinan jurulatihnya itu.

Bagi mengimbangi 'kelemahan' pertahanannya ini, Ferguson perlu memikirkan barisan midfield, yang selain mampu menggerakkan serangan, dapat melakukan tugas defensif.

Tetapi antara falsafah bola sepak menyatakan 'cara terbaik untuk bertahan ialah dengan menyerang'.

Oleh itu, bintang-bintang seperti Wayne Rooney, Dimitar Berbatov dan Cristiano Ronaldo perlu terus menggugat dan membuat pertahanan Inter sentiasa sibuk membentengi gawangnya.

Dengan barisan pemain berpengalaman seperti Paul Scholes, Ryan Giggs, Michael Carrick, Nani, Darren Fletcher dan Park Ji-sung, United mempunyai banyak pilihan untuk membentuk jentera midfield yang ofensif untuk mengancam kubu Inter menerusi serangan-serangan balas yang pantas.

Oleh itu, kita tidak boleh menolak kemungkinan anak didik Ferguson membuat Mourinho menggigit jari selepas perlawanan ini kerana gagal memenuhi keyakinannya./Rauters

1 comment:

Anonymous said...

MU vs Inter wei.. jgn penuhkn bilik tv psl aku nk tgk..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...