CHELSEA dan Liverpool hanya akan turun ke padang esok dan ini memberi peluang kepada Manchester United melebarkan jurang di tangga atas Liga Perdana England.
Juara bertahan itu bakal menikmati kelebihan lima mata ke atas kedua-dua pencabar utamanya itu jika ia dapat menewaskan Everton di Old Trafford hari ini.
Bagaimanapun, anak buah Sir Alex Ferguson akan menghadapi tentangan hebat Everton, yang telah menunjukkan kemajuan dengan menyekat Liverpool dan Arsenal 1-1 dalam dua perlawanan terakhirnya.
Tetapi United ternyata lebih konsisten kebelakangan ini dan sejak tewas 0-1 di tangan Arsenal pada November lalu, juara England itu tidak pernah kalah dalam 11 perlawanan terakhirnya - menang sembilan dan seri dua kali.
Yang penting ialah dapatkah pemain- pemain United mengekalkan kemantapan dan rentak permainannya itu?
Seperti kata bintang pertahanan England, Rio Ferdinand:
'Yang penting ialah rentak permainan. Jika ia dapat dikekalkan, kami tentunya berada pada landasan dan kedudukan yang baik.'
Sedang penampilan semula Ferdinand mengukuhkan benteng pasukan, United mengharapkan para penyerangnya terus menunjukkan sentuhan gol mereka.
Cristiano Ronaldo, yang menjadi inspirasi kejayaan United menjulang trofi Liga Perdana dan Liga Juara-Juara musim lalu dengan menyumbangkan 42 gol, merupakan penjaring utamanya tetapi hanya dengan 10 gol sejauh ini.
Ferguson amat mengharapkan bintang sayap Portugal itu mengulangi ketajamannya sepanjang 16 perlawanan terakhir liga ini.
Malah, Ronaldo telah menunjukkan petanda yang memberangsangkan dan menyahut cabaran pengurusnya itu apabila menyumbatkan dua gol ketika United membelasah West Bromwich Albion 5-0 Selasa lalu.
Tanpa Wayne Rooney, yang masih dihantui kecederaan kejang otot paha, United boleh menaruh harapan kepada Dimitar Berbatov dan Carlos Tevez, yang masing-masing telah menyumbangkan enam dan tiga gol.
Selain daripada masalah kecederaan yang kian melegakan, United mempunyai barisan pemain berpengalaman untuk mengharungi tekanan yang mungkin dihadapi bagi mengekalkan mahkotanya sehingga penghujung musim.
Pemain-pemain veteran seperti kapten Gary Neville, Ryan Giggs, Paul Scholes dan penjaga gawang Edwin van der Saar mungkin tidak selincah era gemilang mereka.
Usia juga mungkin menghalang mereka bermain dengan tetap tetapi pengalaman mereka amat berharga apabila diturunkan dalam perlawanan-perlawanan yang genting.
Selain daripada Van der Saar, yang mencatatkan rekod tanpa dibolosi selama 1,032 minit dalam pertandingan-pertandingan domestik England, Ferguson mungkin menurunkan skuad terbaiknya termasuk tunggak veterannya ini.
Ini kerana Everton mempunyai barisan pemain berpengalaman dan begitu juga pengurusnya, David Moyes, yang bijak mengatur strategi menurut lawan tertentu.
Sungguhpun menghadapi masalah ketandusan penyerang kerana cedera, Everton tetap mengancam untuk menduduki tangga keenam dan antara pemain yang perlu diberi perhatian ialah Tim Cahill.
Pemain midfield Australia ini telah menyumbatkan gol-gol ketika seri dengan Liverpool dan Arsenal. United tidak harus leka membendungnya.
Everton juga bahaya menerusi tendangan percuma Mikel Arteta dan begitu juga ancaman Joleon Lescott setiap kali pasukan itu memperolehi tendangan sudut.
Malah, bintang antarabangsa Belgium, Marouane Fellaini, percaya Everton mampu memperoleh keputusan yang baik.
'Kami mempunyai pasukan yang baik dan mampu memperoleh keputusan yang diharap-harapkan di Old Trafford nanti,' tegasnya.
Tetapi berdasarkan kepada kemantapan dan rentak permainan kedua-dua pasukan kebelakangan ini, kelebihan jelas kepada United, apatah lagi dengan keistimewaan bermain di depan ribuan penyokongnya di Old Trafford
KL Post.
No comments:
Post a Comment