LIVERPOOL: Everton sudah bersedia untuk menjuarai Piala FA meskipun terpaksa melalui kesukaran.
Kapten Everton, Phil Neville, melahirkan keyakinan menyusuli undian pertemuan dengan Manchester United di separuh akhir, selepas pasukan David Moyes itu mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Middlesbrough kelmarin.
Tandukan Louis Saha pada minit ke-56 memberikan kemenangan Everton di Goodison Park.
Marouane Fellaini menyamakan kedudukan selepas David Wheater membuka jaringan bagi pasukan pelawat yang menduduki tangga kedua dari bawah dalam Liga Perdana.
Tetapi Everton - kali terakhir menjulang Piala FA dengan menewaskan United dalam final 1995 -- memikul tugas berat diundi menentang pasukan pimpinan Sir Alex Ferguson, yang memburu lima kejuaraan musim ini.
Bekas bintang United, Neville menyembunyikan kemuraman terhadap undian ini dengan menyatakan Everton mampu membuat kejutan bagi memenangi Piala FA musim ini.
'Manchester United ternyata gagah dengan menumpaskan Fulham (4-0) Sabtu lalu, jadi tugas kami tidak mudah. Bagaimanapun, inilah masanya kami membuktikan kemampuan sebenar.
'Kami terpaksa melakukan dengan cara yang sukar musim ini, jadi kami wajar ke Wembley. Para penyokong pasti seronok berada di Wembey tetapi kami mahu memenangi trofi ini.
'Sejak kami seri dengan Liverpool dan menyingkirkan mereka di pusingan keempat, para penyokong menyatakan tahun ini milik kami.
'Kami mahu membawa trofi ke kelab ini kerana telah sekian lama gagal memenanginya.
'Kami gembira berada di separuh akhir, dan selepas sampai sejauh ini, kami mahu terus mara dan memenangi trofi. Kini kami mahu terus melangkah ke final.'
Moyes akan memimpin Everton ke Wembley buat pertama kali apabila menentang United pada hujung minggu 18 atau 19 April ini.
Tetapi jurulatih dari Scotland itu bukan sekadar mahu bermain di stadium nasional itu bagi separuh akhir, malah final.
'Ke Wembley bagi perlawanan separuh akhir tiada bermakna bagi saya,' tegasnya. 'Apa yang mahu saya lakukan ialah membawa Everton ke final kerana kami mahu memenangi sesuatu.
'Perjalanan masih jauh tetapi kami memang selayaknya berada di separuh akhir ini dan kini kami akan melakukan yang termampu untuk ke final.'
Saha, yang dibebaskan oleh United ke Everton secara percuma Ogos lalu, membuktikan ketajamannya dengan menjaringkan gol kemenangan dan Neville menyifatkan kecergasan penyerang Perancis itu selepas pulih daripada kejang otot paha telah menyemarakkan semangat pasukan.
'Kita semua tahu kualiti Saha dan beliau begitu gembira kerana mengembalikan sentuhan golnya,' jelas Neville.
'Beliau telah membantu kami memenangi beberapa perlawanan kebelakangan ini dan kami gembira mendapatkan semula khidmanya.'
Pengurus Middlesbrough, Gareth Southgate, menyatakan dengan tersingkirnya daripada Piala FA, ini akan menyemarakkan perjuangan pasukannya untuk menyelamatkan diri diturunkan daripada Liga Perdana pada akhir musim ini.
'Kami hanya 45 minit lagi untuk ke Wembley, jadi bayangkan betapa kecewanya kami di atas kekalahan ini tetapi kami belajar daripada perlawanan ini untuk menyelamatkan diri,' tegasnya. / AFP
2 comments:
saya sokong MU!
hihi...
the revenge of the ex-uniteds..
bleh wat filem ni haha
Post a Comment