Sunday, May 3, 2009

GIGGS terima anugerah lagi

Anugerah tertinggi Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) itu adalah satu-satunya pengiktirafan yang belum pernah dimenangi pemain bola sepak England itu yang paling banyak memenangi pingat sejak muncul buat kali pertama bagi Manchester United dalam Mac 1991.Meskipun sudah mencecah 35 tahun, Giggs masih kekal menjadi pemain penting bagi United yang sedang memburu empat kejuaraan musim ini.

United telah pun memenangi dua daripadanya - Piala Dunia Kelab dan Piala Liga - dan masih bersaing untuk mempertahan mahkota Liga Perdananya dan Liga Juara-Juara.

Giggs, yang mempunyai kontrak dengan United hingga Jun 2010, telah memenangi 10 kejuaraan Liga Perdana, dua Liga Juara-Juara, empat Piala FA dan dua Piala Liga - kesemuanya bersama United.

'Ini yang terbaik sekali kerana ia adalah pilihan rakan seperjuangan yang merupakan pemain bola sepak,' kata Giggs di majlis yang diadakan di London itu.

'Saya agak bertuah telah memenangi banyak trofi. Saya memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik sebanyak dua kali, tetapi ini yang paling besar.'

Bekas pemain antarabangsa Wales itu telah memecahkan rekod penampilan paling banyak untuk United semasa United mengalahkan Chelsea dalam final Liga Juara-Juara pada Mei lalu, mengatasi Bobby Charlton yang telah mewakili United sebanyak 758 kali.

Meskipun Giggs hanya 12 kali disertakan dalam kesebelasan pertama United dalam liga musim ini kerana kelincahannya sudah mula kendur, beliau dialihkan daripada posisi pemain sayap kepada peranan di tengah padang dan masih merupakan pemain regular dalam skuad United untuk semua pertandingan.

'Ini satu musim yang menarik,' kata Giggs.

'Saya fikir ia persaingan yang akan berterusan hingga ke perlawanan akhir. Terdapat satu demi satu perlawanan-perlawanan yang besar. Itulah yang anda mahu dan perlukan di sebuah kelab seperti Manchester United.'

Giggs juga adalah antara lima pemain United di kalangan enam pemain yang dicalonkan dan beliau telah memuji pengurusnya, Sir Alex Ferguson, 67 tahun, yang telah berada di Old Trafford sejak 1986.

'Pengurus itu telah memainkan peranan besar sekali dalam kerjaya saya sejak pertama kali saya menemuinya ketika berusia 13 tahun,' kata Giggs.

Ferguson pula berkata, Giggs, yang dilahirkan di Cardiff, bukan sekadar menerima anugerah itu kerana sebab-sebab sentimental.

'Susah hendak dipercayai bahawa beliau telah berada pada tahap teratas sekali untuk sekian lamanya,' kata Ferguson.

Giggs adalah antara enam pemain United yang dipilih untuk pasukan Liga Perdana PFA. Yang lain ialah penjaga gawang, Edwin van der Sar; pemain pertahanan, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic dan Patrice Evra; dan pemain sayap, Cristiano Ronaldo.

Melengkapi senarai itu ialah pemain pertahanan Portsmouth, Glen Johnson; Steven Gerrard dan Fernando Torres dari Liverpool; penyerang Chelsea, Nicolas Anelka; dan pemain sayap Aston Villa, Ashley Young, yang turut dipilih sebagai Pemain Muda Terbaik. / AP

khai. M

rahsia pendapatan lumayan

mahukan duit tetap, anda mampu lakukannya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...